Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

TM pastikan caj internet berpatutan

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

BALING 6 Ogos – Telekom Malaysia Bhd. (TM) akan mengkaji kadar bayaran langganan pakej jalur lebar dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan internet lebih murah dan mampu digunakan oleh lebih ramai pengguna di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie berkata, komitmen berkenaan dibuat sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahu kadar penembusan internet di negara ini meningkat kepada 75 peratus menjelang akhir 2015.

Bagaimanapun, katanya, TM belum bercadang menurunkan kadar langganan jalur lebarnya ke tahap lebih rendah dalam tempoh terdekat memandangkan ia masih kompetitif di pasaran setakat ini.

“Pakej jalur lebar Streamyx yang disediakan kita kini sudah diturunkan kepada RM38 sebulan. Dengan bayaran ini, orang ramai sudah mampu memiliki jalur lebar berkelajuan 384 kbps. Jika hendaklah kelajuan lebih, mereka hanya perlu tambah sedikit bayaran.

“Begitu juga dengan pakej perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSSB), dengan kadar RM149 sebulan, ia masih berpatutan.

“Memang orang selalu membandingkan kadar kita dengan Singapura, namun di Malaysia keadaan agak berbeza kerana kita terpaksa menyediakan kos lebih tinggi termasuklah ke kawasan luar bandar serta pedalaman. Pun begitu, kita beri jaminan bahawa kadarnya akan dikaji mengikut keadaan pasaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program sekolah angkat Pintar TM yang disempurnakan Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman di Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak, Kuala Ketil, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa dan Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Pauziah Taib.

Menurut Halim, TM juga sedang menggiatkan usaha meningkatkan kadar penembusan internet di kalangan isi rumah terutamanya di kawasan pedalaman dengan menyediakan pakej menarik seperti Pakej Jalur Lebar TM dengan Komputer 1Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut meningkatkan perkhidmatan HSSB dengan menambah perkhidmatan UniFi kepada 22 ibu sawat lagi menjelang akhir tahun ini ini.

Katanya, liputan HSBB yang diperluaskan tersebut merangkumi kawasan perindustrian dan kediaman di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.

“Kawasan industri yang terlibat ialah Kulim Hi-Tech Park (Kedah), Bayan Baru (Pulau Pinang), Johor Bahru selain kediaman merangkumi Wangsa Maju, Sungai Buloh, Melawati, Kepong, Cyberjaya, Putrajaya dan Damansara.

“HSBB menjanjikan jalur lebar pada kelajuan akses rangkaian yang lebih pantas iaitu 10Mbps berbanding kelajuan perkhidmatan Streamyx iaitu 4Mbps,” katanya.

Katanya, selepas ini lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menikmati perkhidmatan HSSB dengan perluasan liputan perkhidmatan UniFi oleh TM, termasuk kawasan di luar Lembah Klang.

“Berdasarkan perancangan, menjelang akhir tahun ini, sebanyak 750,000 talian HSSB termasuk pass thru akan diperluaskan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, sasaran tersebut diyakini mampu dicapai memandangkan TM setakat ini berjaya menyediakan lebih 450,000 talian HSSB di seluruh negara.

“Projek penyediaan HSSB ini melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM11.3 bilion yang mana TM mengeluarkan RM8.9 bilion sementara selebihnya adalah sumbangan daripada Kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Halim berkata, projek sekolah angkat Pintar TM bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pencapaian akademik dan penguasaan teknologi maklumat (IT) di kalangan pelajar luar bandar di negara ini.

Katanya, bagi tahun ini, selain SK Tembak, TM telah memilih tiga lagi sekolah iaitu SK Teriang, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pakan, Sarikei, Sarawak dan SMK Agama Repah, Negeri Sembilan untuk menyertai program tersebut.

Kesemua sekolah berkenaan akan menerima sumbangan berupa peralatan komputer dan jalur lebar serta latihan dengan kos RM200,000 sebuah untuk tempoh tiga tahun.

Sumber : www.utusan.com.my

No comments yet.

Leave a Comment