Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

Tinggal bank, jadi artis

MENGIKUT syarat, hanya pemenang MyStarz LG musim kedua, Wana dilamar menjadi artis syarikat rakaman Warner Music Malaysia. Bagaimanapun tuah menyebelahi Nashrin kerana meskipun menduduki tempat kedua, dia juga berjaya menambat hati syarikat rakaman antarabangsa itu.

Ketika orang lain bergelut mencari peluang, Nashrin yang nama sebenarnya Wann Nashrinie Zafri, beruntung kerana sudah menghasilkan album penuh ­berjudul Nashrin yang dipasarkan sejak 27 Julai lalu. Dia beruntung kerana diberi peluang bekerjasama ­dengan komposer popular Audi Mok, Neves, Mohariz Yaakup, ­Kuncidemak dan Acap.
Ditemui pada pelancaran albumnya, pemuda berusia 21 tahun berasal dari Pulau Pinang tidak menyangka impiannya menjadi kenyataan. Bahkan single pertamanya berjudul Fobia Cinta kini sudah mula kedengaran di corong radio.
“Terima kasih kepada Warner Music kerana sudi ambil saya. Ia satu pengalaman yang terhebat dan peluang bekerja dengan komposer terkenal rakaman sangat berguna kepada saya.
“Saya agak lemah dari segi penghayatan dan tidak terasa hati kena marah malah berterima kasih kepada semua komposer kerana dapat menimba ilmu dengan mereka,” katanya yang mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan album.
Menurut Nashrin, kesungguhan Warner Music menjadikan album ini menarik diperlihatkan apabila mengumpul sebanyak 38 lagu untuk dinilai sedangkan yang dimuatkan dalam album hanya lima saja. Dia juga diberi peluang memilih sendiri lagu yang bersesuaian dengan cita rasanya.
Kata Nashrin, selepas tamat MyStarz LG dulu dia pulang ke Pulau Pinang untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Apabila dihubungi Warner Music, dia rasa seperti bermimpi.
“Saya kembali bekerja semula di sebuah bank, namun saya kena tinggalkan bank apabila mengikat kontrak dengan Warner Music. Saya bukan cari glamor jadi penyanyi, sebaliknya hanya mahu orang mendengar nyanyian saya,” katanya. Nashrin yang pernah digosip bercinta dengan Wana turut menghasilkan klip video Fobia Cinta yang menggandingkannya dengan Aishah, peserta Gadis Melayu musim pertama. Gandingan mesranya dengan Aishah menampakkan seolah-olah mereka seperti bercinta namun Nashrin menafikannya.
“Dia hanya kawan yang bekerjasama menjayakan klip video ini. Lakonan itu pun sekadar untuk menjadikan klip video itu menarik semata-mata. Sama juga kisah saya dengan Wana dulu apabila kami dikatakan bercinta selepas kami berduet dalam lagu,” ujarnya.

Sumber : Harian Metro

No comments yet.

Leave a Comment