CENGKAMAN Felda United kian longgar dalam Liga Perdana apabila tewas buat kali pertama musim ini, 0-1 kepada Tentera di Stadium Selayang malam tadi untuk membuka ruang buat pencabar terdekatnya, PKNS.
Kemenangan Tentera yang tidak disangka-sangka itu membolehkan mereka kini berada satu mata mengekori PKNS di tangga kedua.
Dengan PKNS tidak beraksi semalam, perlawanan Sarawak dan Melaka mencuri tumpuan dengan lapan gol dihasilkan dalam kemenangan 5-3 buat Sarawak di tempat sendiri.
Zamri Morshidi (minit ke-25 dan 55) dan Effendi Malek (27, 79) masing-masing menjaringkan dua gol dengan satu lagi jaringan disumbangkan Sahrol Saperi pada minit ke-43.
Melaka terlebih dulu mengejutkan tuan rumah pada minit kelapan menerusi K Depansakwati dengan dua jaringan seterusnya Dzulkifli Gali (m58) dan Shafiq Zahari (76) sekadar sagu hati buat pelawat.
Di Stadium Larkin, Majlis Perbandaran Muar disentak Polis yang mencuri tiga mata penuh menerusi kemenangan 3-2.
Di Stadium Darulmakmur pula, Shahzan Muda turut menerima nasib sama apabila tewas kepada pelawat, USM 2-3.
Sumber : Berita Harian Online
