Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

Rooney terus tunjuk taring (Man United menang 5-0)

Pacu United belasah Wigan sebagai hadiah manis hari jadi ke-68 Ferguson

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Wayne Rooney percaya dia akan dapat mengatasi jumlah jaringan terbaiknya pada satu musim selepas menunjangi skuad bimbingan Alex Ferguson meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Wigan, kelmarin.

Kemenangan dengan angka besar itu tambah manis sebagai hadiah hari jadi ke-68 buat pengurus pasukan berbangsa Scotland itu, semalam.

Wigan kendalian Roberto Martinez mengekang United pada peringkat awal aksi di Old Trafford sebelum Rooney mendominasi untuk United meraih kemenangan mudah dan mengecilkan jurang kepada hanya dua mata dengan pendahulu, Chelsea,

Rooney memecah kebuntuan dengan penyudah cantik – gol ke-15nya musim ini – dan penyerang England itu percaya dia mampu mengatasi rekod dicatat pada musim 2006-2007 apabila menjaringkan 23 gol untuk United.

“Itu sasaran saya. Jika saya tidak menjaringkan lapan gol di antara sekarang hingga hujung musim, sudah tentu ada yang tidak kena.

“Kami turun ke padang dengan kesedaran kami tertinggal tujuh gol kepada Chelsea dan kami mahu mengecilkan jurang. Jadi, menyumbat lima gol mendekatkan kami dan kami amat gembira.

“Lima gol menentang mana-mana pasukan sudah jarang berlaku kebelakangan ini, jadi sudah tentu kami puas hati,” katanya.

Gol lain United adalah sumbangan Michael Carrick, Rafael Da Silva, Dimitar Berbatov dan bekas bintang Wigan, Antonio Valencia.

Ferguson juga bingkas meluahkan pujian kepada Rooney.

“Tenaga yang ditunjukkannya, keinginan kuat untuk menang, memang menakjubkan. Lebih penting, aksi berpasukan juga memuaskan. Separuh kedua musim biasanya tempoh apabila pengalaman jadi faktor penting dan kami jelas memilikinya.

“Kami ada skuad untuknya, punya keinginan dan tenaga untuk melakukannya. Marilah kita berharap kami akan mampu melakukannya.” – AFP

Sumber : Berita Harian Online

No comments yet.

Leave a Comment