KUALA LUMPUR: Hanya kerana RM20, seorang penganggur dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menyamun duit daripada seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang juga penjual kuih, bulan lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin mengarahkan Mohamad Firdaus Abdul Latip, 24, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 Julai lalu.
Mohamad Firdaus didakwa mencuri beg pinggang dan duit bernilai RM20 daripada kanak-kanak itu yang juga jirannya di bawah Blok 41, PPR Gombak Setia Setapak, Sentul di sini pada 3.30 petang, 14 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan. Terdahulu, Zainal Abidin sempat bertanyakan kepada tertuduh, apakah yang ingin dikatakannya sebelum hukuman dikenakan.
Mohamad Firdaus merayu kepada mahkamah dengan berkata: “Saya tidak akan buat lagi dan saya tidak akan kacau dia lagi… saya tak nak masuk penjara…
tolonglah saya tuan hakim… saya tak nak raya kat dalam penjara.” Turut hadir ibu tertuduh dan kakaknya serta pengadu dan bapanya.
Sementara itu, Zainal Abidin turut bertanyakan kepada pengadu, mengapa dia menjual kuih, kanak-kanak itu memberitahu: “Saya jual kuih sebab nak tolong mak”.
“Berapa mak beri, kalau tolong mak jual kuih?” soal Zainal Abidin.
Kanak-kanak itu menjawab: “Mak bagi RM3″.
Zainal Abidin turut bertanyakan kepada kanak-kanak itu, duit itu digunakan untuk apa, dan kemudian dijawab oleh kanak-kanak itu yang wang upah akan disimpan dalam tabung.
“Saya simpan duit itu dalam tabung dan kalau dah banyak… saya nak belanja mak saya makan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli manakala Mohamad Firdaus tidak diwakili peguam.
-Bernama
