ALOR GAJAH, 23 Ogos (Bernama) — Kementerian Kesihatan mengarahkan pejabat kesihatan daerah di seluruh negara mengadakan kempen bagi menjelaskan mengenai penyakit kencing tikus atau leptospirosis berikutan beberapa kes kematian akibat penyakit itu akhir ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pejabat kesihatan akan diminta mengenal pasti kawasan “panas” bagi penyakit itu dan cara-cara pencegahan penyakit itu.
Beliau meminta orang ramai berhati-hati dengan tikus yang berkeliaran di rumah, kawasan pekhemahan dan gerai-gerai.
“Kebersihan rakyat sangat penting kerana kalau kita lihat di negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura, mereka dapat mengurangkan kadar leptospirosis dengan begitu tinggi, bandar mereka tidak menghadapi sangat masalah leptospirosis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah SJKC Machap Umboo pada hari Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kematian seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di Kedah, selepas dipercayai mandi di kawasan rekreasi Puncak Janing di Kuala Nerang pada 16 Julai lepas.
Penyakit kencing tikus itu mula mendapat perhatian ramai akhir Jun lepas apabila lapan orang meninggal dunia selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang.
Liow berkata sehingga kini 1,400 kes leptospirosis dilaporkan dan ini merupakan satu bilangan besar.
Katanya kebersihan kawasan di seluruh negara masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki dan banyak kawasan masih lagi kotor yang mengundang banyak tikus berkeliaran.
“Penyakit ini sukar diatasi sekiranya lewat dikenal pasti, tetapi kalau kita kenal pasti awal, leptospirosis ada ubatnya,” katanya.
Di ALOR SETAR, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat India dan Pekerja Ladang Kedah, M.Manikumar berkata langkah pencegahan yang proaktif akan diambil segera sebagai usaha mencegah penularan jangkitan kencing tikus di Kedah.
Katanya mesyuarat telah diadakan dengan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perhutanan untuk mengenal pasti langkah berkesan supaya ia tidak merebak ke lokasi terutama yang menjadi tumpuan pelancong.
“Kita amat risau dengan penularan kes ini kerana orang ramai masih mengunjungi lokasi-lokasi yang kritikal ini,” katanya kepada Bernama.
Menurut Manikumar, sehingga kini tiga pusat rekreasi telah ditutup iaitu Puncak Janing di Kuala Nerang, Lata Bayu di Baling serta Bukit Wang di Jitra manakala pusat-pusat rekreasi di Langkawi turut dipantau bagi memastikan lokasi itu selamat.
“Kita tidak mahu ia merebak ke Langkawi kerana ia merupakan pulau tumpuan pelancong, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk menghalangnya,” katanya.
– BERNAMA
