LONDON: Arsenal membenam Tottenham dengan dua gol menerusi Robin van Persie, yang menjadi inspirasi kemenangan 3-0 ke atas pasukan musuh di utara London itu pada perlawanan di Stadium Emirates, semalam.
Kemenangan itu membawa skuad Arsene Wenger itu naik ke tangga kedua Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan pertama ke atas Spurs sejak Disember 2007.
Aksi semalam, Gunners agak kecewa pada babak pertama namun akhirnya mengejutkan Spurs dengan dua gol dalam tempoh seminit sebelum rehat.
Penyerang Belanda, Van Persie memulakan jaringan pada minit ke-42 apabila bijak menyambar hantaran silang Bacary Sagna.
Tottenham terus menerima tamparan apabila ketua pasukan Gunners, Cesc Fabregas mencuri bola dan meloloskan diri dari pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang melepasi Heurelho Gomes pada minit ke-43.
Van Persie melengkapkan hari malang skuad Harry Redknapp pada minit ke-60.
Jaringan tersebut bermula apabila pengadil Mark Clattenburg mengarahkan permainan diteruskan walaupun Benoit Assou-Ekotto mengkasari Eduardo dan ketika pemain pertahanan Tottenham tercegat, Van Persie sekali lagi menyambar bola lintang Sagna untuk jaringan jarak dekat.
Dalam pada itu, pemain Arsenal, Nicklas Bendtner mengalami kecederaan pangkal paha dan mungkin tidak beraksi selama sebulan.
Wenger berkata, Bendtner yang dimasukkan pada lewat babak pertama mengalami kecederaan ‘agak serius’.
Kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah Arsenal dengan Spurs sejak dekad lalu.
“Ia perlawanan yang sengit dan sukar di babak pertama kerana kami sama-sama beraksi baik. Apabila kami menjaringkan gol pertama, mereka (Spurs) pada asasnya sudah menyerah kalah,” kata Van Persie.
Kemenangan itu memberikan Arsene Wenger mata ke 1,000 liga sejak menyertai Arsenal 13 tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, Tottenham telah dikendalikan oleh 13 pengurus dan gagal memberi tekanan terhadap dominasi Arsenal di utara London.
KEPUTUSAN LAIN
Arsenal 3 (Van Persie 42, 60, Fabregas 43) – Tottenham 0
Bolton 0 – Chelsea 4 (Lampard 45-pen, Deco 61, Knight 83-og, Drogba 90)
Burnley 2 (Alexander 20-pen, 77) – Hull 0
Everton 1 (Bilyaletdinov 45) – Aston Villa 1 (Carew 47)
Fulham 3 (Zamora 24, Nevland 73, Dempsey 87) – Liverpool 1 (Torres 42)
Portsmouth 4 (Dindane 35, 64, 90-pen, Piquionne 45) – Wigan 0
Stoke 2 (Elokobi 17-gs, Etherington 44) – Wolverhampton 2 (Craddock 47, 64)
Sunderland 2 (Reid 39, Richardson 76) – West Ham 2 (Franco 30, Cole 36)
Manchester United 2 – Blackburn 0 (Berbatov, Rooney)
