Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

Lima Bot Nelayan Vietnam Ditahan Dalam Bulan Puasa

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima buah bot nelayan Vietnam bersama 58 awak-awak dalam empat operasi di perairan Terengganu dan Kelantan sejak awal puasa hingga Isnin.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata tiga buah daripada bot itu dengan 37 kru ditahan di Terengganu manakala dua lagi bersama 21 kru ditahan di Kelantan.

“Dengan tangkapan ini membuktikan kita (maritim) beroperasi seperti biasa sama seperti bulan lain,” katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau memberi jaminan kepada komuniti maritim supaya tidak takut keluar ke laut kerana APMM menjalankan operasi menyeluruh meliputi kawasan maritim Wilayah Timur.

Dalam pada itu, Syed Mohd Fuzi meminta nelayan tempatan khususnya nelayan laut dalam segera melaporkan kepada APMM sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai pencerobohan nelayan asing.

Beliau juga mengingatkan nelayan kelas B dan C supaya mematuhi syarat lesen dan tidak menceroboh kawasan nelayan pantai kerana kini pihaknya banyak menerima aduan tentang pencerbohan bot kelas itu di tempat berkenaan.

Di MELAKA, APMM yang berpangkalan di Kuala Linggi, Alor Gajah, menahan dua buah kapal sedang melombong pasir laut tanpa permit berhampiran Pulau Upeh dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim daerah Kuala Linggi, Kapten Ibrahim Mohamed berkata kedua-dua buah kapal jenis Sand Pump Barge ditahan ketika melombong pasir di posisi 3 batu nautika dari Pulau Upeh, pada pukul 2.30 pagi.

Setelah pemeriksaan dibuat oleh anggota APMM, kedua-dua kapal itu tidak mempunyai dokumen dan permit kelulusan untuk melombong pasir laut, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata permit syarikat tersebut telah tamat pada bulan lepas dan melombong di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya kapal yang bernama Cathay SP 1 dan Cathay SP 2 adalah milik sebuah syarikat yang terlibat dalam kerja penambakan pantai di Klebang.

Kedua-dua kapten kapal tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pelantar Benua 1966 (semakan 1972) dan kes akan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA

No comments yet.

Leave a Comment