Terengganu rampas tempat kedua tewaskan Pulau Pinang
SELANGOR muncul pasukan tunggal dengan rekod 100 peratus dalam Liga Super apabila meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan KL Plus 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Percubaan jarak jauh Hardi Jaafar pada minit ke-57 sudah cukup untuk mempenuh buat anak buah K Devan yang kini unggul dengan kelebihan dua mata.
Terengganu berada di tempat kedua di atas Johor FC berdasarkan perbezaan gol selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Tuan rumah mendahului pada minit ke-59 menerusi Md Firdaus Md Faudzi yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata yang cuba menghalang Joseph Kalang Tie, namun bola akhirnya singgah ke kaki Md Firdaus yang bijak melakukan penyudah.
Selang tiga minit kemudian, Ashaari Shamsuddin menggandakan kedudukan dengan Joseph meletakkan nama pada senarai penjaring pada minit ke-82. Abdul Manaf Mamat melengkapkan kemenangan pasukannya dengan gol pada lewat permainan.
Johor FC melonjak ke tempat ketiga dengan Mohd Khairul muncul wira mereka apabila memperolehi gol kemenangan pada waktu kecederaan untuk menang 1-0 ke atas Kedah di tempat lawan.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, kepulangan Razali Umar Kandasamy menjulang Perak untuk kemenangan pertama musim ini apabila membenam Johor 2-0.
Gol pertama pelawat hadir pada minit ke-89 berpunca dari sepakan percuma Md Nazri Md Kamal yang terkena tiang gol lalu disambar Md Syazwan Md Roslan manakala Razali yang kembali selepas penggantungan memastikan tiga mata milik Perak apabila berjaya mengelirukan penjaga gol, Mohd Faizal Yusof menerusi tandukan pada masa kecederaan.
Di Stadium Utama, Kangar, Kelantan turut meneruskan rekod tanpa kalah musim ini apabila seri tanpa jaringan dengan Perlis.
Percubaan terbaik Perlis hadir menerusi sepakan percuma kapten, Fauzie Nan tetapi diselamatkan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein pada minit terakhir babak pertama.
Di Stadium Darulmakmur, Pahang meraih kemenangan keduanya apabila bangkit menewaskan T-Team 2-1 dengan dua jaringan lewat. T-Team mendahului pada minit ke-19 menerusi Azrul Hazran Amiludin Baki tetapi Pahang mencuri tiga mata dengan dua gol Shahrizan Md Salleh pada minit ke-85 dan 90.
Sumber : Berita Harian Online
