Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

Kekasih suami wanita mati dalam almari ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita berhubung kes pembunuhan ibu dua anak, Fazlina Ahmad, 39, yang mayatnya dibungkus dengan selimut manakala mulut serta hidung ditampal pita pelekat sebelum disorok dalam almari di rumahnya di Taman Pinggiran Ukay dekat sini, kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun itu yang dipercayai teman wanita suami mangsa, ditahan kira-kira jam 1 pagi semalam selepas menyerah diri di Balai Polis Hulu Klang.

Menurut sumber, wanita terbabit mendakwa mengenali suami mangsa sejak awal tahun lalu selepas menjalankan urusan perniagaan bersama.

“Wanita itu juga mendakwa berada bersama suami mangsa, kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian sebelum lelaki berusia 38 tahun itu menghilangkan diri.

“Hasil siasatan turut mendapati ada orang awam terlihat suami mangsa di rumahnya, kira-kira jam 5 petang pada hari kejadian,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu yang kini direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Kita akan melihat dari pelbagai sudut sama ada wanita itu kemungkinan turut terbabit atau mengetahui berhubung kematian mangsa yang dipercayai dibunuh suaminya,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat sesak nafas dan tiada sebarang kecederaan di luar bahagian badan.

Kelmarin, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Manah, tidak menolak kemungkinan kes kematian eksekutif pemasaran sebuah syarikat itu mempunyai kaitan dengan masalah rumah tangga.

Sumber polis pula berkata, mangsa serta suaminya yang tidak bekerja dikatakan dalam proses perceraian kerana tidak lagi mempunyai persefahaman.

“Mangsa mungkin diserang sejurus dia keluar dari bilik air berikutan dia hanya memakai tuala sebelum mulut dan hidungnya ditampal pita pelekat dan dibungkus dengan selimut,” katanya.

Menurut sumber itu, suami mangsa dipercayai melarikan diri dengan menaiki kereta api menuju ke satu destinasi di Utara berdasarkan perbualan telefon dengan adik lelakinya.

“Adiknya menghubunginya dan bertanyakan bila mahu pulang ke rumah, namun lelaki itu memberitahu dia berada di stesen kereta api dan mahu ke Utara tanpa memberikan butiran lebih lanjut,” katanya.

Pada hari kejadian, suami mangsa juga sempat menghantar dua anaknya ke rumah ibunya di Taman Rasmi Jaya, Ampang dan berpesan kepada pembantu rumah supaya tidak menyentuh almari yang kononnya mahu dibuang.

Sementara itu, kakak mangsa, Faezah Ahmad, berkata adiknya seorang perahsia dan tidak pernah menceritakan masalah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, Faezah yang ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam, berkata tiga hari sebelum ditemui mati, Fazlina memberitahu dia mahu pulang ke kampungnya di Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin, untuk membincangkan sesuatu mungkin mengenai masalah rumah tangganya.

“Kali terakhir saya jumpa arwah pada 27 Disember lalu. Ketika itu, arwah pulang dari Kuala Lumpur kerana bercuti sehari dan selepas itu arwah pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Sebelum arwah berangkat, dia memberitahu akan pulang semula pada 30 Disember kerana ingin membincangkan sesuatu,

“Selepas itu, saya tidak lagi mendengar berita mengenai arwah sehinggalah kami mendapat panggilan mengatakan arwah meninggal dunia.

“Pada mulanya, kami menyangka arwah meninggal dunia disebabkan penyakit asmanya tetapi terkejut apabila terbaca di akhbar yang mengatakan arwah mati dibunuh,” katanya.

Sumber : Berita Harian

One Response to “Kekasih suami wanita mati dalam almari ditahan”

  1. May 9, 2011 at 7:33 pm #

    This web site is really a walk-by way of for all the information you wanted about this and didn’t know who to ask. Glimpse right here, and you’ll undoubtedly discover it.

Leave a Comment