JAUHI daripada mengambil jamu dan majun! Itulah ingatan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (gambar) kepada atlit terutama yang akan beraksi dalam Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou, hujung tahun ini.
“Bukan saja jamu dan majun tetapi segala produk perubatan herba, ginseng dan sebagainya yang diambil daripada luar atau disyorkan oleh keluarga serta rakan, saya nasihatkan atlit supaya merujuknya kepada kami terlebih dulu.
“Kami tidak mahu kerana tersilap mengambil produk perubatan yang mengandungi bahan terlarang, ia membawa padah hingga menjejaskan imej negara dan masa depan mereka sendiri,” katanya semalam.
Dia mengulas mengenai sama ada ISN akan mewajibkan ujian air kencing terhadap semua atlit yang beraksi di kedua-dua temasya itu bagi memastikan kontinjen negara bebas daripada pengambilan dadah terlarang.
Ini berikutan ujian yang dijalankan perlu menelan belanja yang besar selepas Agensi Anti Doping Dunia (WADA) masih menggantung akreditasimakmal Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, sejak Mei lalu.
WADA menggantung makmal USM daripada menjalankan analisis antidoping kerana gagal mematuhi Standard Antarabangsa untuk Makmal (ISL) serta isu berkaitan Dokumen Teknikal.
Dr Ramlan berkata, pihaknya tetap akan menjalankan ujian berkenaan tetapi keutamaan kepada atlit daripada sukan berisiko tinggi dan mempunyai ‘sejarah’ selain ujian rambang membabitkan atlit sukan lain.
“Kita terpaksa berbuat demikian kerana sekiranya kita mewajibkan ke atas semua atlit, ia akan membabitkan kos yang besar kerana setiap sampel perlu dihantar ke New Delhi untuk analisis.
“Satu ujian dianggarkan menelan kos RM650. Kos itu belum termasuk sekiranya kita mahu keputusan ujian itu dikeluarkan lebih cepat dan sebagainya,” katanya.
Sumber : Berita Harian
