Kemunculan raja pop, Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini untuk mengikuti Perhimpunan Agung Umno hari ini, mencuri perhatian ramai pengunjung.
Penyanyi itu yang ditemani dua rakan pada mulanya dilihat berjalan tanpa disedari orang ramai sebelum ‘ditahan’ wartawan untuk ditemubual.
Sesi temubual itu secara tiba-tiba menjadi tumpuan orang ramai terutama kaum wanita yang mahu bergambar dengannya selain mendapatkan tandatangan penyanyi itu.
Keadaan itu turut menyebabkan semakin ramai yang datang namun penyanyi itu tetap melayan permintaan mereka terutama bergambar dengannya.
Jamal berkata, dia datang ke PWTC untuk melihat apa yang dibincangkan oleh pemimpin dan perwakilan sayap Umno.
“Tapi rasanya saya hanya boleh duduk sekejap saja untuk mendengar sebab perlu melayan ramai peminat,” katanya.
Menurutnya, dia berminat untuk mengikuti perhimpunan kali ini disebabkan mahu melihat kepimpinan baru Umno.
“Pembaharuan ini amat mengujakan saya kerana saya difahamkan akan ada perubahan dilaksanakan,” katanya.
Dia turut berharap agar pemimpin Umno dapat menyemai sikap yang ditunjukkan Rasulullah SAW iaitu tidak membangga diri atau sombong.
Oleh Muhamad Safar Ahmad, Idris Musa, Muhd Izawan Baharin, Maiamalina Mohamed Amin, Shanty Nur Shaffizan Shafee
