Digg StumbleUpon LinkedIn YouTube Flickr Facebook Twitter RSS Reset

Debar Noryn dalam gembira

SEWAKTU mula-mula dilamar awal tahun lalu, memang Noryn Aziz benar-benar terkejut. Terkejut dan terkesima dengan lamaran yang baginya tidak mampu membuatkannya tidur lena di waktu malam.

Malah, dia juga tidak pernah menyangka sama sekali bahawa ada yang memerhatikan dirinya dari jauh sekali gus mahu menyuntingnya untuk dijadikan penyeri.

Setelah berfikir panjang, dia memutuskan untuk menerima lamaran tersebut selepas enam bulan kerana dia cukup sedar bukan mudah untuk dirinya dilamar sekali lagi.

“Apatah lagi sejak sekian lama saya mendambakan lamaran sebegini rupa dan saya tidak pernah menyangka akhirnya ia menjadi satu realiti,” ungkap Noryn membuka bicaranya pada sesi fotografi yang berlangsung di ibu pejabat Utusan Malaysia ini.

Ya, benar. Noryn sudah dilamar dan disunting tetapi bukan sebagai seorang isteri sebaliknya dilamar oleh Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk membuat persembahan di dewan penuh prestij itu.

Dan, pada tarikh keramat 12 Januari ini tepat pukul 9 malam, suara mantap Noryn akan bergema untuk menghiburkan audiens di dalam dewan yang menjadi igauan ramai artis tempatan untuk membuat persembahan di sana.

Tutur katanya dan riak wajah Noryn terpancar jelas kegembiraan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Sementelah bekas graduan Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) ini juga merupakan pengunjung setia DFP untuk menikmati sebarang persembahan di sana terutama sekali alunan irama jazz.

“Siapa yang tidak mahu membuat persembahan di DFP dan saya percaya semua artis mempunyai keinginan yang sama. Begitu juga dengan diri saya.

“Saya menyifatkan peluang ini umpama bulan jatuh ke riba kerana sedar peluang sebegini bukan mudah untuk mendatangi kita selalu.

“Apa yang membuatkan saya terharu dan bangga adalah apresiasi DFP dalam mengiktiraf bakat saya untuk menghiburkan penonton di sana pada malam itu nanti,” kata Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz ini lagi.

Noryn merupakan artis kedua yang diundang untuk membuat persembahan di DFP menerusi slot DFP Spotlight: Jazz.

Sebelum Noryn, artis pertama mengisi slot berkenaan adalah Mia Palencia yang membuat persembahan di sana pada bulan Oktober lalu.

Kejutan yang berbeza

Noryn mempunyai 1,001 alasan untuk berasa bangga dan gembira kerana bayangkan selama ini dia hanya menghiburkan penonton dan pengunjung di pentas yang cukup kecil.

Malah, lagu-lagu jazz, R&B dan soul yang menjadi lagu santapan hariannya sudah sebati dalam dirinya dan muzik itu jugalah yang akan dipersembahkan di pentas yang cukup eksklusif itu.

Lebih membanggakan dan mengharukan buat Noryn apabila kesemua tiket untuk 853 tempat duduk di dalam dewan tersebut semuanya habis dijual dalam masa yang cukup singkat.

“Saya sedar saya bukan seorang artis komersial yang memiliki rangkaian lagu-lagu popular.

“Kelompok peminat yang mengikuti perkembangan seni saya pun adalah mereka yang selama ini menonton persembahan saya di kelab malam dan lounge.

“Jadi, apabila membuat persembahan di pentas yang lebih besar dengan kapasiti hampir 900 orang dan semua tiket sudah habis dijual, ia benar-benar mengejutkan saya,” tutur anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini penuh rendah diri.

Bekas anggota kumpulan Sister Sister ini juga tidak menolak kemungkinan tiket persembahannya laris bagaikan pisang goreng panas itu adalah promosi yang dijalankan menerusi laman rangkaian sosial, Facebook miliknya.

Pada malam persembahannya itu nanti, Noryn akan diiringi oleh 11 orang pemuzik profesional dan terkenal yang selama ini mengiringi Noryn dalam setiap persembahan mereka di bawah pimpinan pengarah muzik, Eric Lee.

Biarpun tidak diiringi dengan orkestra, itu bukan satu masalah buat Noryn yang menjanjikan satu persembahan yang mampu dikenang oleh audiens dan peminatnya.

Dia juga berterima kasih kepada DFP yang menyediakan platform untuknya menonjolkan bakat menerusi ritma jazz yang sudah menjadi makanan rujinya.

“DFP memberikan kebebasan kepada saya untuk tampil mencorakkan persembahan saya mengikut apa yang saya inginkan.

“Satu yang pasti, malam itu nanti saya akan tampilkan kejutan yang berbeza dengan persembahan saya sebelum ini.

“Ini kerana setiap persembahan saya selalunya adalah tentang muzik, lagu dan improvisasi. Tetapi kali ini saya mahu memberikan hiburan yang baru menerusi persembahan saya,” kata Noryn yang terus mengunci rapat bibirnya apabila dipujuk untuk berkongsi kejutan yang dimaksudkannya itu.

Untuk persembahan yang dijangka akan memakan masa satu hingga satu setengah jam itu akan menyaksikan Noryn mengalunkan 13 buah lagu yang selama ini menjadi pilihannya dalam setiap persembahan yang dilakukannya.

Enam lagu Melayu yang akan didendangkannya pada malam itu merangkumi lagu-lagu dari albumnya, Alam Maya seperti Alam Maya, Kembalikan dan Cerita Cinta serta tiga lagu terbarunya iaitu Izinkan Aku, Kesungguhan Cinta dan Bila Bila Saja.

Sebuah lagu Inggeris ciptaan terbarunya berjudul I’m Alright juga akan disampaikan oleh Noryn secara eksklusif untuk hadirin yang hadir pada malam itu nanti.

Dalam erti kata lain, Noryn menjelaskan konsert pertamanya di DFP ini adalah perjalanan seninya dari mula hingga awal yang disampaikan menerusi lagu-lagu yang dipilih.

“Kerana itu, saya sesekali tidak boleh meminggirkan lagu-lagu yang sudah menjadi darah daging saya seperti Love For Sale, Through The Fire, Get Here, Misty, Lady Sings The Blues dan Masquenda.

“Lagu-lagu ini sudah menjadi lagu wajib dari mula saya menyanyi di kelab malam dan lounge. Saya percaya mereka yang mengikuti perkembangan saya tahu akan perkara ini.

“Dalam masa yang sama juga, saya mahu mencari peminat baru yang mencintai muzik jazz selain membuka mata semua pihak bahawa muzik yang saya perjuangkan ini sebenarnya bukan untuk golongan tertentu sahaja,” jelas pemenang anugerah Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2007 ini lagi.

Menyingkap tirai tahun 2009 yang sudah pun dilabuhkan semalam, pemuja Ella Fitzgerald, Jill Scott dan Erykah Badu ini bersyukur kerana tahun lalu merupakan tahun yang cukup baik untuknya apabila dilimpahi dengan rezeki yang melimpah ruah.

Sambil menadah tangan melafazkan syukur, Noryn memberitahu tawaran persembahannya tidak pernah putus sepanjang tahun lalu.

Dengan penuh jujur, Noryn mengatakan jika bukan kerana bantuan pengurus peribadinya, Sam Kassim, yang bijak merencanakan dunia seninya, tidak mungkin untuk dia mengecapi nikmat itu.

Dan, itu juga bukan alasan untuk Noryn bersikap tamak dan menaikkan harganya dengan sewenang-wenangnya kerana apa yang hadir di depannya adalah rezeki Allah SWT.

Selain persiapan untuk konsert ini, Noryn juga mahu terus memperkasakan namanya di persada seni tanah air menerusi single yang akan menyusul selepas ini.

“Alhamdulillah. Inilah dinamakan rezeki dan apa yang saya miliki ini adalah hasil usaha saya sendiri serta kurniaan Allah buat saya untuk mencari rezeki dengan bakat yang dikurniakan kepada saya.

“Buat masa ini, saya sudah ada lima buah lagu dan akan memasuki studio rakaman sebaik sahaja konsert saya berakhir.

“Menerusi single saya ini nanti, saya amat berharap stesen radio akan dapat memainkannya kerana perubahan yang saya lakukan kali ini adalah untuk semua golongan pendengar,” katanya penuh mengharap sambil memberitahu karya terbarunya itu masih lagi mengekalkan identiti

yang dipegangnya selama ini.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments yet.

Leave a Comment