Pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo yang juga rakan baik pelakon, Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, menyampaikan berita gembira kepada rakan SS mengenai pelakon itu dan isterinya, Kartina Shuaib Abdullah, 29, apabila baru saja dikurniakan anak perempuan tanggal 31 Disember lalu. Pasangan ini selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Masjid Batu 4, Sandakan, Sabah, 17 Januari lalu.
SS percaya belum terlambat buat seluruh warga kerja SS mengucapkan sekalung tahniah buat pelakon drama Sephia dan Kapten Boleh itu.
Syukur kepada Allah kerana isteri Ako, Kartina selamat melahirkan bayi perempuan comel yang dinamakan Merissa Tempawan di Tropicana Medical Center.
Kata Calvin menerusi SMS yang dikirim kepada rakan SS, ibu dan bayi juga sihat dan kini masih berpantang di rumah. Semoga kehadiran Merissa terus mengukuhkan kebahagiaan rumah tangga Ako dan isteri tercinta.
Kata Calvin lagi, nama Tempawan itu dipilih sempena nama ibu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seperti yang kita tahu Ako adalah cucu kepada kakak sulung Dr Mahathir, Allahyarham Rafeah.
Bagaimanapun, buat masa ini, kata Calvin, Ako dan Kartina belum bersedia menayangkan wajah anak mereka kepada pihak media.
Sumber : Harian Metro
